PETALING JAYA: Bendera Jalur Gemilang sekali lagi berkibar megah setelah atlet tenpin boling negara, Natasha Roslan dinobatkan sebagai juara dunia yang baru di Kejohanan Tenpin Boling Dunia yang berlangsung di Salmiya, Kuwait sebentar tadi.
Natasha berjaya menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane dengan keputusan 259-194, 162-238, 185-165 dalam aksi akhir acara individu wanita yang berlangsung di Pusat Boling Kuwait.
Kejayaan ini menyaksikan Natasha menjadi rakyat Malaysia ketiga yang berjaya merangkul gelaran juara dunia untuk kategori tersebut selepas Esther Cheah memenanginya pada 2005 di Aalborg dan disusuli Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.
Terdahulu, Natasha dan Li Jane memastikan tiket ke pentas akhir selepas masing-masing mengenepikan lawan dari Korea Selatan di peringkat separuh akhir.
Natasha menewaskan Son Hye Rin 143-189, 227-173, 214-177 sementara Li Jane diberikan tentangan oleh Hong Hae Ni sebelum mengesahkan kemenangan dengan keputusan 202-203, 226-192, 269-220.
Ini merupakan pingat emas kedua buat Natasha di pentas kejohanan dunia selepas turut sama menjadi watak penting ketika membantu Malaysia memenangi pingat emas kategori berpasukan bersama-sama Sin Li Jane, Syaidatul Afifah, Siti Safiyah serta Datuk Shalin Zulkifli ketika edisi 2017 di Las Vegas.