LONDON: Lionel Messi dijangka menjulang Ballon d’Or kelapan lewat bulan ini selepas senarai pemenang untuk kedua-dua kategori lelaki dan wanita 2023 bocor semalam.
Messi, 36, melengkapkan kariernya yang hebat dengan memimpin Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar tahun lalu.
Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu kemudian menyertai Inter Miami pada Julai dan pantas ‘membakar’ Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat dengan persembahan memukau.
Selepas kalah kepada Karim Benzema untuk anugerah 2022, Messi telah dimaklumkan dia bakal memenangi anugerah 2023 di Paris pada 30 Oktober.
Bagi anugerah wanita, akhbar Catalan Sport mendedahkan, pemain tengah Barcelona, Aitana Bonmati akan diumum sebagai pemenang di Teater Chatelet selepas merangkul Piala Dunia Wanita bersama Sepanyol, Ogos lalu.
Jika laporan itu benar, Messi akan memiliki tiga trofi Ballon d’Or lebih banyak berbanding Cristiano Ronaldo.
Dia bagaimanapun bakal berdepan persaingan sengit penyerang muda Norway, Erling Haaland yang membantu Manchester City memenangi gelaran treble musim lalu. – AGENSI