PETALING JAYA: Biarpun akur dengan kekalahan di suku akhir, jurulatih memanah kebangsaan, Zulfadhli Ruslan tetap berpuas hati dengan aksi compound berpasukan campuran, Juwaidi Mazuki dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, semalam.
Katanya, tewas tipis dengan perbezaan hanya tiga mata kepada gandingan India, Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam yang memiliki ranking dunia lebih tinggi menunjukkan Juwaidi-Fatin berjaya memberi tentangan sengit.
Malaysia mengutip 155 mata sementara India 158.
Kata Zulfadhli, peluang bersaing dengan gandingan India yang memegang gelaran dunia satu cabaran luar biasa kepada anak-anak buahnya kerana Malaysia turun sebagai pilihan kelapan, sementara lawan mereka pula pilihan utama.
“Kita berjaya beri saingan hebat dari awal permainan, sehingga ke end ketiga, tetapi pada end keempat iaitu panahan ketiga, ada sedikit kesilapan berlaku disebabkan kedua-dua atlet berdepan tekanan yang terlalu tinggi.
“Dekat lapang sasar kita boleh lihat yang India mampu buat sembilan panahan agak jauh, memang berbeza kerana kita dapat lihat siapa yang dapat kawal dan siapa lebih berpengalaman menguasai perlawanan.
“Setakat ini, saya sangat berpuas hati dengan Juwaidi-Fatin. Cuma kita kurang bernasib baik, itu saja, rezeki tidak menyebelahi kita. Esok kita ada satu lagi acara, compound lelaki berpasukan menentang Iran, pasukan pilihan keempat.
“Untuk compound lelaki berpasukan, kita pasukan pilihan kelima. Kita harap acara esok (hari ini) akan layak ke separuh akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Fuyang Sinhu itu turut menyaksikan gandingan India tersebut meneruskan kemaraan dengan menewaskan Kazakhstan, 159-154 di separuh akhir dan kemudian merangkul pingat emas selepas menumbangkan Korea Selatan, 159-158 di pusingan akhir.