PETALING JAYA: Malaysia menunjukkan sokongan penuh kepada saudara seagama, Palestin yang kini terlibat dengan konflik peperangan apabila sedia menjadi tuan rumah untuk negara itu mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Twitter hari ini.
Terdahulu, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia telah menolak permintaan Palestin untuk bermain perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Australia bulan hadapan di Algeria atas sebab negara itu berada di lokasi benua yang berbeza.
Tambahan, pihak AFC juga tidak dapat memastikan kemudahan yang terdapat di negara tersebut dan kesejahteraan para pemain.
Justeru Palestin perlu untuk menamakan lokasi berkecuali di Asia sebelum 25 Oktober.
“Kami telah menghubungi pihak kedutaan Palestin pada petang tadi dan menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah untuk perlawanan membabitkan Palestin menentang Australia di Stadium Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak bulan hadapan,” jelas Adam.
Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi gelanggang berkecuali buat negara lain apabila pada 2017, Syria yang bergolak dengan peperangan ketika itu terpaksa menjadikan Stadium Hang Jebat, Melaka sebagai gelanggang mereka untuk mengharungi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018.