PETALING JAYA: Malaysia menambah dua pingat emas dalam temasya Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, sebentar tadi menerusi sukan berbasikal dalam acara ujian masa 1,000 meter (m) wanita dan lontar peluru lelaki (F20).
Emas acara basikal hadir menerusi Nur Suraiya Muhamad Zamri dengan catatan masa 1:13:434 saat (s) sementara rakan sepasukannya, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais pula meraih perak apabila mencatat masa 1:14:083s.
Kemenangan satu dua juga dicatatkan atlet negara dalam acara lontar peluru lelaki (F20) apabila Muhammad Ziyad Zolkefli meraih emas dengan catatan 16.65 meter (m) dan Mohamad Aliff Mohamad Awi meraih perak (13.75m)
Sementara itu, kem olahraga turut menyumbang pingat perak dalam acara 100m kategori T44 (kecacatan fizikal) menerusi Eddy Bernard yang meraih catatan masa 11.86s.
Pencapaian itu, sekali gus memperbaharui rekod peribadinya yang dicipta dalam Sukan Para ASEAN 2023, Jun lalu (11.87s).-UTUSAN ONLINE