Malaysia lakar sejarah di Kejohanan Ragbi Asia Seven Series 2023

Malaysia lakar sejarah raih pingat gangsa di Kejohanan Ragbi Asia Seven Series 2023

Skuad Ragbi tujuh sepasukan (7s) negara meraih kejayaan membanggakan di Kejohanan Ragbi Asia Seven Series 2023 yang melabuhkan tirainya hari ini. (FOTO: MRU)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad ragbi tujuh sepasukan (7’s) negara melakar kejayaan membanggakan apabila buat julung kalinya membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Ragbi Asia Seven Series 2023 setelah menumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat hari ini.

Terdahulu, hajat pasukan Malaysia untuk melangkah ke final disekat Jepun apabila tumpas dengan keputusan 10-24.

Begitupun anak buah Nik Safuan Ismade Nik Man berjaya bangkit dengan menampilkan aksi memberangsangkan apabila menumbangkan UAE dengan keputusan 21-15 dalam penentuan tempat ketiga/keempat hari ini.

Ia kejayaan yang membanggakan mengambil kira krisis kecederaan pemain yang dihadapi skuad negara setelah berhempas pulas untuk bergelar naib juara Kumpulan B semalam.

“Alhamdulillah syukur, pasukan negara menunjukkan prestasi yg mengejutkan bagi saya kali ini di Thailand.

“Majoriti pemain sedang bergelut dengan kecederaan, namun berkat usaha masing-masing dalam pasukan berjaya mengubah pencapaian untuk edisi kali ini.

“Sasaran utama kami adalah untuk mengekalkan ranking bagi membolehkan kami bermain di kejohanan ini pada tahun hadapan, tetapi kami berjaya melepasi sasaran dengan berjaya masuk ke separuh akhir dan meraih tempat ke tiga keseluruhan,” jelas Nik Safuan yang dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, skuad wanita negara pula menghabiskan saingan edisi kali ini di tempat keenam keseluruhan selepas tewas kepada Kazakhstan dengan keputusan 19-26.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN