KUALA LUMPUR: Pengendali skuad berbasikal kebangsaan, Mohd. Yusof Nasir mengharapkan keputusan yang diraih pelumbanya di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 mampu memikat hati Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk lebih serius melaksanakan program membabitkan skuad berbasikal lebuh raya.
Malaysia merupakan satu-satunya pasukan kebangsaan yang menyertai perlumbaan LTdL edisi kali ini, berentap dengan beberapa pasukan berstatus Jelajah Dunia, Profesional serta Benua.
Begitupun mereka membuktikan bukanlah pasukan pelengkap apabila berjaya mengakhiri saingan tahun ini di tangga ke-14 keseluruhan daripada 22 pasukan bertanding serta menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik Asia.
Mereka juga berjaya mencapai sasaran di peringkat ketiga apabila Nur Aiman Rosli merampas jersi putih, Pelumba Terbaik Asia.
Justeru, Yusof mahu MSN dan PKBM merangka satu program yang lebih mapan buat barisan pelumba berbasikal lebuhraya negara sebagai persediaan awal menghadapi LTdL 2024.
“Jujurnya, saya sendiri masih tidak pasti nasib saya selepas ini, tetapi saya akan cuba berbincang dengan pihak atasan, iaitu PKBM dan MSN untuk kita sama-sama duduk.
“Kita tidak mahu jadi seperti tahun tahun sebelum ni, hanya tubuhkan pasukan untuk LTdL dan kemudian habis tidak ada apa-apa.
“Untuk tahun ini pun kita sudah berjaya mendapat keputusan pelumba terbaik Asia (peringkat perlumbaan) sebanyak tiga kali, jadi saya akan membawa keputusan ini untuk dibentangkan kepada MSN dan PKB untuk membincangkan masa depan program skuad berbasikal lebuhraya,” jelas Yusof.
Dalam masa yang sama, Yusof akur seandainya ada pasukan profesional lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat pelumbanya memandangkan ketika ini mereka tidak ada program masa panjang.
“Sekiranya ada pasukan profesional yang mahu menyunting mereka, pergilah. Bagi saya itu adalah lebih bagus, daripada kita sedang mengusahakan sesuatu yang tidak pasti.
“Selagi ia dapat memanjangkan karier mereka, dan membantu mereka untuk terus berkayuh, saya tiada masalah,” tambahnya.