PETALING JAYA: Sehingga kini, sebanyak 40,022 tiket telah terjual untuk menyaksikan perlawanan Harimau Malaya menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Kehadiran penyokong memenuhi stadium keramat itu pastinya dapat menaikkan semangat skuad kendalian Kim Pan Gon untuk mempamerkan aksi terbaik mereka di atas padang.
Beraksi di atas padang rumput baharu yang dirasmikan semalam, diharapkan anak-anak buah Pan Gon dapat menumpaskan India, sekali gus mara ke final Pestabola Merdeka 2023 pada edisi kali ini.
Menanti di pentas akhir ialah Tajikisktan yang mendapat ‘bye’ selepas Palestin menarik diri kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur berikutan situasi tegang di negara berkenaan ketika ini.
Penyokong masih berpeluang untuk mendapatkan tiket yang boleh dibeli secara dalam talian di laman web https://bit.ly/tiketpestabola dan untuk makluman, tiada penjualan tiket fizikal di stadium.
Bagi menyemarakkan lagi semangat sokongan kepada pasukan Harimau Malaya malam ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melanjutkan waktu operasi di Stesen LRT Bukit Jalil sehingga jam 12.30 tengah malam.
Selaku pengendali perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, laluan Ampang/Sri Petaling akan dilanjutkan waktu operasinya bagi tujuan berkenaan.
Serentak dengan itu katanya, waktu operasi bagi stesen-stesen integrasi juga akan dilanjutkan manakala stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa.-UTUSAN