KUALA LUMPUR: Ribuan penyokong Harimau Malaya sudah membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Kim Pan Gon yang akan turun dengan misi wajib menang ke atas India, sebentar lagi.
Seperti biasa, paling mencuri tumpuan pastinya kehadiran kumpulan Ultras Malaya yang terlebih dahulu ‘beraksi’ di pekarangan stadium petang ini sebelum sepak mula perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023.
Sambutan peminat cukup luar biasa memandangkan ini adalah aksi pertama Harimau Malaya di SNBJ selepas stadium keramat itu sebelum ini ditutup untuk kerja-kerja penukaran rumput jenis Zeon Zoysia.
Geng Ultras Malaya turut mengibarkan bendera Palestin di pekarangan stadium sebagai tanda menyatakan sokongan solidariti kepada Palestin yang kini dihimpit konflik perang dengan Israel.
Sebelum kehadiran kumpulan Ultras Malaya, ribuan peminat mula membanjiri stadium seawal pukul 3 petang dan gelagat penonton sebelum aksi Pestabola Merdeka menentang India jelas menghidupkan suasana.
Lebih 40,000 penyokong membanjiri Stadium Nasional dengan sehingga pukulo 7 petang tadi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan sebanyak 43,645 tiket perlawanan itu sudah terjual.
Suasana di dalam stadium juga cukup meriah dengan lautan kuning hitam membanjiri sebahagian besar ruang tempat duduk penonton.- UTUSAN