PARIS: Kenangan pahit disingkir England pada separuh akhir Ragbi Piala Dunia 2019 di Jepun menjadi motivasi kepada juara tiga kali, All Blacks apabila berdepan Argentina pada separuh akhir di Paris, Sabtu ini.
Tonggak New Zealand, Dane Coles tidak mahu rakan-rakannya dibuai mimpi dengan kejayaan mengalahkan pasukan No. 1 dunia, Ireland pada suku akhir, sebaliknya menekan butang ‘reset’ bagi memberi tumpuan untuk aksi seterusnya.
“Apa yang kami lakukan minggu lalu sangat bermakna. Itulah cabaran Piala Dunia dan sebagai pemimpin (pemain berpengalaman) kami perlu membimbing pemain baharu terus mara ke depan,” katanya.
Tegas Coles, sebolehnya dia mahu mengelak beraksi di penentuan tempat ketiga.
“Tidak kira siapa anda lawan, anda bermain di separuh akhir dan jika anda tidak masuk (final), anda akan berada dalam tempoh seminggu yang menguji anda dari segi mental, fizikal dan emosi,” ujarnya.
Keyakinan pemain ketika ini berada di tahap terbaik selepas memenangi aksi ‘blockbuster’ suku akhir, namun mereka perlu turun dengan strategi baharu berdepan Argentina.
Sementara itu pengendali New Zealand, Ian Foster gembira pasukannya kembali menjadi pilihan dalam Piala Dunia selepas memulakan kempen dengan langkah sumbang.
“Saya sudah memberi mesej terakhir kepada pemain, percayakan diri sendiri, percaya kerja yang kita lakukan sebagai satu kumpulan.
“Saya tidak mahu mereka masuk ke padang dalam keadaan terpinga-pinga, kami harus bermain dengan rentak sendiri,” kata Foster yang menyaksikan pasukannya kalah kepada tuan rumah Perancis, dalam aksi pembukaan Piala Dunia. – AGENSI