Kes saman Zaki Sadri, Mark William selesai cara baik

Kes saman Zaki Sadri, Mark William selesai cara baik

MOHD. Zaki Sadri (kiri) dan Mark William bersalaman selepas menyelesaikan kes saman fitnah mereka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Mark William terhadap bekas ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd. Zaki Sadri selesai secara baik selepas bekas  jaguh lompat jauh negara itu memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Zaki, 56, pemenang lapan pingat emas Sukan SEA ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan berkata, beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Mark kerana membuat kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar tempatan pada 21 Jun lalu.

“Saya ingin tanpa syarat menarik balik semua dakwaan yang dibuat dalam kenyataan akhbar itu, dengan tulus ikhlas dan sedalam-dalamnya memohon maaf kepada Datuk Mark William atas keaiban dan kesulitan yang dialaminya.

“Saya selanjutnya merakamkan kekesalan saya yang setulus-tulusnya dan sedalamnya di atas rasa malu dan kesulitan yang ditimbulkan oleh penerbitan kata-kata yang diadukan tersebut dan dengan tidak berbelah bahagi dan tidak bersyarat memohon maaf kerana menyebabkan kenyataan akhbar itu diterbitkam,” katanya.

Zaki turut memberikan aku janji untuk tidak mengulangi pernyataan-pernyataan serupa pada masa hadapan.

Selepas tamat perosiding,  Zaki dan Mark atau nama penuhnya Mark William Ling Lee Meng dilihat bersalaman dan berpelukan erat antara satu sama lain.

Terdahulu, Hakim Zulqarnain Hassan sebelum merekodkan perjanjian persetujuan sempat mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak termasuk peguam-peguam kerana berjaya menyelesaikan kes saman itu secara baik.

“Mahkamah ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak terutamanya kepada defendan (Mohd. Zaki) kerana telah menunjukkan rasa insaf yang menunjukkan kematangannya dalam memilih untuk berdamai daripada (terus) bertelingkah. Ini satu pilihan yang bijak sebab ia tidak akan menghabiskan masa, tenaga dan wang,”kata hakim terbabit.

Mark memfailkan saman terhadap Mohd. Zaki pada 30 Jun lalu atas dakwaan bekas jaguh lompat jauh dan lompat kijang negara telah memfitnahnya dalam satu sidang media pada 21 Jun lalu berkait dengan kejohanan Sukan SEA di Kemboja, pada bulan yang sama.

Menurut penyataan tuntutan Mark selaku plaintif, beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaki antara lain menggambarkannya sebagai seseorang yang tidak layak dan sesuai menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, selain telah mensabotaj peluang Malaysia untuk menang di kejohanan antarabangsa.

Kenyataan berbaur fitnah itu juga didakwa mempunyai maksud tersirat bahawa Mark telah mematahkan peluang atlet Malaysia untuk menang di kejohanan antarabangsa seperti Sukan Asia di Hangzhou, China dengan tidak mengikuti rancangan yang dicadangkan defendan selain tidak bertindak demi kepentingan atlet Malaysia.

Sementara itu, Mohd. Zaki dalam pembelaannya memberitahu, kenyataan yang dibuatnya dalam sidang akhbar itu adalah komen berpatutan dan berkepentingan awam.

Tambahnya, sebagai ketua jurulatih kebangsaan (ketika itu), beliau berhak bersuara kerana ia melibatkan penggunaan dana awam, ketelusan dalam pendtadbiran dan reputasi negara dalam acara sukan.

Zaki dilantik sebagai ketua jurulatih olahraga kebangsaan pada Februari lalu bagi menggantikan Mohd. Manshahar Abdul Jalil yang kontraknya tidak diperbaharui. Beliau meletak jawatan pada Mei 2023. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN