PETALING JAYA: Beregu No. 1 Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyifatkan kejayaan merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense, Denmark cukup istimewa buat mereka berdua selepas enam tahun menanti.
Pasangan No. 4 dunia itu mengekalkan aksi konsisten sepanjang kejohanan dan kelmarin, pada perlawanan akhir mereka membenam gandingan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-17 dalam masa 33 minit.
Kejayaan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod pertemuan ke atas Shohibul-Bagas kepada 4-0.
Ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir, Wooi Yik berkata, dia dan Aaron tidak pernah merangkul gelaran pada Jelajah Dunia.
“Selama enam tahun menanti, jadi, kemenangan ini cukup istimewa buat kami dan memberi motivasi untuk melangkah lebih jauh.
“Banyak kali kami melangkah ke final, tapi tak pernah menang dan hari ini (malam tadi) kami bermain lebih baik, kurang buat silap serta beraksi lebih mantap,” katanya.
Aaron pula berharap kejayaan pada Terbuka Denmark bukanlah yang pertama dan terakhir buat mereka berdua.
“Penting untuk kami percaya kepada diri sendiri, jangan sesekali berputus asa, kami telah lama digandingkan bersama dalam lima atau enam tahun.
“Banyak final yang kami harungi, malah, kami berjaya menang Kejuaraan Dunia, tetapi masih tercari-cari gelaran pada Jelajah Dunia dan akhirnya berjaya,” jelas Aaron.
Pemain berusia 26 tahun itu juga berazam untuk mengekalkan prestasi lebih konsisten dan buru gelaran kedua pula pada Jelajah Dunia selepas ini.
Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$62,900 (RM299,718) berserta pingat emas.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa seorang lagi wakil Malaysia dalam aksi perseorangan lelaki apabila Lee Zii Jia tewas kepada pemain yang menghuni ranking ke-22 dunia, Weng Hong Yang dari China 12-21, 6-21.
Kekalahan tersebut menyaksikan Hong Yang semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas Zii Jia yang menghuni ranking No. 11 dunia kepada 3-1.
Muncul sebagai naib juara, Zii Jia, 25, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$28,900 (RM137,708) beserta pingat perak.-UTUSAN