PETALING JAYA: Hadiah lumayan sebanyak RM 30,000 bakal menjadi rebutan untuk pemenang Kejohanan Nimbus Esports Fest 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 26 November di Sunway Geo Avenue, Kuala Lumpur.
Acara yang akan berlangsung selama dua hari akan menjadi festival e-sukan yang terbesar di Malaysia dan akan disertai seramai 20,000 orang pemain industri termasuk 120 pasukan yang berentap bagi merebut gelaran juara.
Antaranya yang sudah mengesahkan penyertaan adalah Team Haq, HomeBois, Todak, RSG Malaysia dan MPX NSEA.
Menariknya, untuk edisi sulung tahun ini, pihak penganjur akan menampilkan empat pertandingan permainan video yang popular ketika ini antaranya PUBG Mobile, Mobile Legend: Bang Bang, Valorant serta Tekken.
Ketua peganjur Nimbus Games, Jospeh Teng menjelaskan tujuan utama festival ini diadakan adalah untuk membangunkan bakat sukan dalam permainan video selain melahirkan bakat baharu untuk sukan berkenaan.
“Ini merupakan kali pertama festival terbesar seumpamanya dianjurkan. Kami berharap ia akan menjadi acara tahunan dengan sokongan kuat yang diberikan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Esports Malaysia (MESF).
“Nimbus Esports festival akan menghimpunkan para penggiat sukan permainan video termasuk pemain, pengeluar dan pengeluas permainan video seluruh negara dalam satu acara.
“Kita perlu mempunyai pelapis dan mencari bakat baharu, justeru festival ini dilihat sebagai satu cara positif untuk memperkenalkan sukan permainan video kepada ibu bapa yang skeptikal terhadap potensi sukan ini,” jelasnya dalam satu sidang media di ibu kota semalam.