PETALING JAYA: Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) sudah mengambil langkah awal bagi memastikan emas yang diraih Arif Afifuddin Ab. Malik dalam Sukan Asia Hangzhou dapat dipertahankan apabila temasya kembali di Nagoya, Jepun pada 2026.
Arif, 23, menyumbangkan pingat emas keenam Malaysia selepas mengatasi lawan dari Kazakhstan, Daniyar Yuldashev dalam acara kumite bawah 84 kilogram (kg), sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun skuad karate negara untuk meraih emas.
Kali terakhir pingat emas Sukan Asia diraih atlet karate negara adalah menerusi Syakilla Salni Jefry Krisnan yang mencipta sensasi ketika dalam kumite wanita bawah 61kg pada edisi 2014 Incheon, selain Lim Chee Wei dalam kata lelaki.
Begitupun momentum itu tidak dapat diteruskan di Jakarta/Palembang 2018 setelah Syakilla berdepan pelbagai masalah luar gelanggang sehingga memaksa dia mengundur diri pada 2019.
“Saya ada bincang dengan menteri (Hannah Yeoh) dan MSN (Majlis Sukan Negara) ketika di Hangzhou, saya perlukan setiap kategori senior ada pelapis yang baik.
“Seperti Sureeya (Hari Sankar) patah tangan tapi kita sudah bersedia dengan penggantinya. Ini bermakna setiap kategori utama kita ada dua atau tiga pengganti kerana kejohanan karate ini dalam setahun ada enam sehingga lapan.
“Untuk melaksanakan program, kita perlukan dana lebih banyak bagi mengekalkan prestasi sedia ada. Bila kita sudah berjaya raih emas di Hangzhou, sudah pasti kita akan dijadikan sandaran di Nagoya 2026 nanti, begitu juga di Sukan SEA,” kata Presiden Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad.