PETALING JAYA: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah akur kekurangan stamina menjadi pemisah ketika kalah kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee pada suku akhir Sukan Asia 2022 di Hangzhou kelmarin.
Pasangan negara bermula baik dengan menang 21-15 di set pertama, namun momentum itu gagal diteruskan sekali gus menyaksikan mereka akur 11-21, 7-21 dalam dua set berikutnya.
Bagaimanapun Thinaah menjelaskan kedua-dua mereka bergelut di penghujung permainan bukanlah disebabkan kecederaan, sebaliknya sudah pun kehabisan tenaga.
“Sudah pasti kami tidak berpuas hati dengan pencapaian kami di sini, tetapi kami juga tetap akan mengambil perkara-perkara positif yang telah kami tampilkan di kejohanan ini dan memberi tumpuan kepada kejohanan selepas ini.
“Setakat ini kami tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma kami sudah kehabisan tenaga di penghujung perlawanan. Ini adalah perkara yang kami perlu pertingkatkan,” jelas Thinaah.
Kekalahan ini juga menutup peluang Pearly dan Thinaah untuk sekurang-kurangnya meraih pingat dari Hangzhou.
Kali terakhir beregu wanita negara berjaya membawa pulang pingat adalah menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei ketika edisi 2014 Incheon.