PETALING JAYA: Selepas mengharungi jadual padat dan tersekat awal dalam satu daripada tiga acara yang disertai, Juwaidi Mazuki kembali di Pusat Sukan Fuyang Yinhu hari ini untuk cuba memboloskan diri dalam saingan memanah compound berpasukan campuran.
Semalam, masalah teknikal menyebabkan kempen Juwaidi, 33, dalam aksi individu Sukan Asia 2022 berakhir di suku akhir apabila tumpas 135-148 kepada pemanah handalan Korea Selatan, Joo Jaehoon.
Biarpun berdepan pemanah No. 1 dunia, ia tidak langsung menggusarkan Juwaidi, namun sesuatu berlaku ketika di end keempat yang menyebabkan dia tidak dapat melepaskan anak panah kerana masalah teknikal ‘thumb release’.
“Saya tiada masalah berdepan dia (Jaehoon) sebab dia junior. Apa yang berlaku nak salahkan peralatan macam tak sedap tetapi memang masalah peralatan, jadi pelepasan saya tak nak keluar,” katanya.
Hari ini, Juwaidi bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh akan berdepan pasangan India, Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam di suku akhir.
Juwaidi mengakui, lawan mereka sangat kuat dan dia memerlukan panahan ‘luar biasa’.
“Pasangan India itu betul-betul kuat, bukan sikit-sikit punya kuat.
“Menentang India ini memang berat (sukar) sedikit dan kita tahu mereka ada banyak juara Piala Dunia, juara dunia lelaki dan wanita,” katanya.
Gandingan Ojas Pravin-Jyothi sebelum ini muncul juara acara compound berpasukan campuran pada Piala Dunia 2023, Antalya di Turki pada April lalu.
Juwaidi juga akan bertarung dalam saingan berpasukan lelaki, di mana gandingannya bersama Alang Ariff Aqil Ghaz dan Mohd. Syafiq Ariffin akan berdepan Iran pada suku akhir esok.