RANCHI, India: Skuad hoki wanita negara langkah kiri apabila ditewaskan 0-3 kepada juara bertahan, Jepun dalam aksi pembukaan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2023.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh, gawang Malaysia bolos sejak minit ke 13 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Rika Ogawa.
Jurang itu digandakan Jepun memasuki suku ketiga permainan apabila Mai Toriyama meledak jaringan kedua pada minit ke 43.
Skuad kendalian Jude Menezes terus cemerlang apabila Shiho Kobayakawa menambah derita Malaysia menerusi jaringan ketiga pada minit ke 54, sekaligus menafikan impian Malaysia untuk mengutip mata dalam perlawanan pembukaan ACT 2023.
Bagi pengendali negara, Mohamed Nasihin Nubli, dia masih menganggap keputusan itu sebagai keputusan positif memandangkan lawan mempunyai reputasi yang hebat di peringkat antarabangsa.
“Kami sudah membuat persiapan bertemu Jepun, pasukan yang sangat berpengalaman di Piala Dunia dan Sukan Olimpik.
“Kami sudah jangka mereka akan datang (menyerang) kepada kita, walaupun bagi saya ini dari segi jaringan ini masih keputusan yang baik, tetapi kita masih perlu meningkatkan diri dari segi keyakinan, kerana mereka nampak gementar namun secara perlahan-lahan mereka dapat menyesuaikan diri sepanjang perlawanan.
“Saya mengharapkan pemain-pemain muda dapat meningkatkan diri mereka kerana selepas ini kita akan berjumpa dengan wakil tuan rumah, India,” jelasnya.
Malaysia akan berdepan India esok pada pukul 8.30 malam waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).