PETALING JAYA: Malaysia berpeluang membalas kekalahan kepada Thailand dalam saingan berpasukan apabila dua pasukan sepak takraw terbaik dunia ini berentap lagi pada final antara regu Sukan Asia 2022 hari ini.
Kunci kejayaan Malaysia sekali lagi akan bergantung kepada keberkesanan servis tekong Mohammad Syahir Rosdi yang beraksi di bawah tahap sebenar ketika acara regu berpasukan.
Pengendali negara, Ahmad Jais Baharun mengakui selain semangat berpasukan dan pertahanan yang baik, mereka tidak boleh membuang mata sewenang-wenangnya berdepan Thailand, dengan Syahir perlu mengelak servisnya tersangkut di jaring.
Semalam, Malaysia mengesahkan tiket final selepas membenam Filipina 21-15, 21-11 dalam aksi separuh akhir.
“Saya yang rasa pemain kita masih lambat panas untuk dapatkan mata, dan ada kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Kalau dilihat perlawanan tadi (semalam), Syahir belum cukup tajam, hampir sembilan kali bola servisnya sangkut, dan ini membiarkan mata mudah kepada lawan dan saya harap perkara ini tidak berulang untuk perlawanan menentang Thailand.
“Kadangkala pemain kita ini, jumpa dengan pasukan biasa, mereka mengambil mudah tetapi bila berjumpa dengan pasukan kuat macam Thailand baru bersemangat.
“Apa hendak jadi esoklah penentuannya, saya dan barisan jurulatih hanya boleh memberikan tunjuk ajar, mereka bertiga (Syahir, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Zainal) akan menentukannya di dalam gelanggang,” kata Jais yang dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, Jais mengingatkan pemainnya agar tidak terlalu menghormati Thailand, terutama tekong mereka, Sittipong Kamchan.
“Tekong Thailand (Sittipong) sangat kuat, mereka tidak banyak membuang bola dan mata, dan kebanyakkan perlawanan mereka sejak peringkat kumpulan, mereka tidak membenarkan lawan kutip lebih daripada 10 mata,” katanya.