PARIS: Itali telah melupakan kenangan pahit dibelasah New Zealand dengan membina semula keyakinan menjelang pertemuan menentang Perancis dalam aksi terakhir Kumpulan A, Ragbi Piala Dunia esok.
Itali wajib mengalahkan Perancis jika mengimpikan slot suku akhir buat kali pertama, tegas tonggak mereka, Stephen Varney.
“Kami agak kecewa dengan prestasi kami (ketika tewas kepada New Zealand). Aksi minggu ini kami perlu melangkah ke padang dengan mendapatkan semula keyakinan kami.
“Kami perlu melakukannya dan melemparkan kenangan pahit ke dalam api untuk melupakannya serta mengambil ia (kekalahan) sebagai satu pengajaran.
“Saya fikir kami telah melakukannya dengan baik,” kata Varney.
Ketua Jurulatih Itali, Kieran Crowley melakukan lima pertukaran dalam pasukan yang kalah 17-96 kepada skuad All Blacks di Lyon minggu lalu.
Keputusan itu merekodkan kekalahan kedua terbesar dialami skuad Azzurri.
Begitupun rekod Itali menentang Perancis tidak begitu baik apabila hanya mampu melakar tiga kemenangan daripada 47 pertemuan.
“Kami hanya menulis fikiran kami pada sekeping kertas dan membuangnya ke dalam api.
“Saya fikir ia adalah cara yang baik untuk melupakan dan meneruskannya kerana saya tidak fikir prestasi itu menentukan kami sebagai sebuah pasukan.
“Adalah penting sebagai satu pasukan untuk meratapi perlawanan ketika menentang All Blacks dan kini kami bersedia untuk menunjukkan betapa baiknya kami,” ujar pemain Itali Federico Ruzza.
Untuk skuad Azzurri mencipta sejarah, mereka perlu menewaskan Les Bleus sejak kali terakhir memenangi pertemuan mereka pada 2013. – AGENSI