PETALING JAYA: Selepas hampir dua musim Liga Malaysia (Liga M) melalui penswastaan, masalah tunggakan gaji belum dapat ‘dicuci’ sepenuhnya, dan Kedah Darul Aman (KDA FC) mengesahkan sudah beberapa bulan gagal melunaskan gaji pasukan.
Tidak hanya Kedah, Sabah FC, antara pasukan terbaik Liga M dan kini sedang mengharungi kempen cemerlang Piala AFC turut dikaitkan dengan masalah tunggakan gaji, biarpun belum ada sesiapa di dalam kelab tersebut mengesahkan perkara itu.
Semalam, pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd. Daud Bakar menawarkan saham syarikatnya, termasuk yang berada di luar negara bagi membolehkan wang itu digunakan untuk menampung perbelanjaan pasukan yang kini dalam keadaan ‘kritikal’.
Daud mengesahkan pasukan itu berdepan masalah aliran tunai yang menyebabkan gaji barisan pemain, jurulatih dan pegawai mereka tertunggak beberapa bulan.
“Puncanya adalah missmatch iaitu pendapatan bulanan kurang daripada perbelanjaan tetapi ingin saya tegaskan, tiada penaja yang menarik diri.
“Cuma ada kalanya pembayaran dijanjikan itu terlewat dan dibuat sedikit demi sedikit namun, mereka beri komitmen untuk selesaikan penajaan seperti dijanjikan,” katanya.
Sumber Sabah FC pula memberitahu Mingguan Malaysia, pasukan The Rhinos, yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan H dalam Piala AFC sudah tertunggak sehingga tiga bulan.
Selasa lalu, difahamkan hampir separuh daripada 14 kelab Liga Super berdepan isu tunggakan gaji musim ini.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam sebelum ini berkata badan yang melakukan proses permohonan Lesen Kebangsaan, First Instance Body (FIB) memerlukan sedikit masa untuk mengumpul maklumat tambahan berkenaan dokumen yang dikemukakan beberapa kelab Liga Super.
Dokumen itu akan menentukan sama ada mereka layak mendapat lesen untuk beraksi musim depan.