LANGKAWI: Kejohanan sukan ekstrem Ironman 70.3 Asia Pasifik yang julung kali diadakan di negara ini hari ini menjadi platform buat enam atlet profesional merebut slot ke Kejohanan Dunia.
Sebanyak tiga slot kelayakan ke Kejohanan Ironman Dunia di Taupo, New Zealand pada Disember tahun depan akan diberikan kepada tiga atlet profesional lelaki manakala bakinya kepada peserta wanita juga daripada kategori itu.
Pengarah Serantau Asia Ironman Group, CG Lim berkata, seramai 28 atlet profesional iaitu 19 orang lelaki dan sembilan wanita mengesahkan penyertaan dalam saingan itu.
Katanya, mereka akan berentap bersama beberapa atlet triatlon terkemuka rantau ini bagi merebut hadiah wang tunai RM350,000 (AS$75,000).
Menurut Lim, pihaknya cuba untuk membawa kejohanan berprestij itu sejak tahun 2020, namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
“Sebenarnya banyak tarikan di Langkawi kepada peserta antaranya dari segi cabaran, cuaca dan suhu.
“Tetapi pengalaman Ironman di sini berbeza kerana semua kru yang bertugas adalah orang tempatan sama ada penduduk kampung atau pelajar,” katanya.
Ironman 70.3 Asia Pasifik akan melibatkan disiplin renang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal (90km) dan larian (21.1km).
Tambah Lim, dengan gelaran Asia Pasifik pada kejohanan kali ini ia secara tidak langsung akan membolehkan lebih ramai mengenali Ironman Langkawi dan turut mempromosi destinasi pelancongan itu.
Dalam perlumbaan tersebut, dua peserta Australia, Joshua Amberger dan Ashleigh Gentle masing-masing menguasai saingan profesional lelaki serta wanita. – UTUSAN