Impian Harimau Malaya julang piala berkecai

Impian Harimau Malaya julang piala berkecai

KUALA LUMPUR 17 OKTOBER 2023 - Pemain Tajikistan, Rahimov Muhammadjon (kanan) melakukan hadangan tendangan Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid pada perlawanan akhir Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Impian Harimau Malaya untuk menjulang piala Pestabola Merdeka 2023 dihadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukti Jalil (SBNJ) tidak menjadi kenyataan apabila tumpas 0-2 kepada Tajikistan, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-134 dunia dilihat dapat menyaingi kekuatan Tajikistan yang berkedudukan ke-110 dunia namun, disiplin pertahanan yang cukup baik mengecewakan anak-anak buah Kim Pan Gon.

Perlawanan berlangsung rancak pada awal permainan dengan Harimau Malaya lebih banyak melancarkan serangan namun, semua gerakan berjaya dipatahkan oleh lima pertahanan Tajikistan yang mempamerkan disiplin mantap.

Bagaimanapun, pada minit ke-14 Tajikistan hampir didepan selepas Shukurov Asisher melakukan rembatan dari tepi sebelah kiri namun, percubaan itu berjaya dinafikan oleh Syihan Hazmi Mohamed.

Pada minit ke-20 Malaysia dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti namun, sepakan yang diambil Safawi Rashid berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Tajikistan, Baratov Daler.

Baratov sekali lagi menjadi penyelamat apabila dia menyelamatkan percubaan jarak jauh Brendan Gan pada minit ke-26 dan dia juga bertindak pantas untuk mengawal keadaan selepas bola muntah dari dakapan.

Matthew Davies berpeluang meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-37 namun, percubaanya sedikit tersasar biarpun tidak berdepan mana-mana pemain pertahanan Tajikistan.

Ketika sibuk melakukan asakan ke pintu gol lawan, skuad negara dihukum oleh gol pertama Tajikistan pada minit ke-44 menerusi serangan balas pantas yang disempurnakan Soirov Rustam untuk mereka memasuki bilik persalinan dengan bekalan satu gol.

Bersambung babak kedua, Kim Pan Gon melakukan pertukaran dengan memasukkan Akhyar Rashid dan Azam Azmi Murad bagi menggantikan Arif Aiman Hanapi dan Davies.

Sedar perlu mencari gol penyamaan, skuad negara melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol Tajikistan dan pelung terbaik hadir pada minit ke-54 namun, percubaan Akyhar berjaya diselamatkan Baratov.

Malaysia juga dihidangkan dengan deretan peluang selepas itu, namun ketumpulan jentera serangan mengecewakan kira-kira 36, 558 penyokong setia Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Harimau Malaya berpeluang sekali lagi untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-75 namun, rembatan deras Faisal Abdul Halim sekadar menggegarkan tiang gol Tajikistan.

Ketika Malaysia sibuk mengasak mencari gol penyamaan, Samiev Shahrom memanfaatkan masalah komunikasi antara Dominic Tan dengan Syihan pada minit ke-87 untuk gol kedua Tajikistan.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya gagal mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka yang kali terakhir dimenangi pada 2003.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya