SEREMBAN: Pemenang pingat emas 110 meter (m) lari berpagar lelaki bawah 18 tahun pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-63, Hazriq Cik Mat Kilau, 17, menyasarkan untuk berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia untuk kategori bawah 17 tahun.
Menurut Pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Johor itu, ia berdasarkan catatan yang dilakukannya di peringkat saringan MSSM semalam iaitu 13.46 saat (s) yang memecah rekod kejohanan serta rekod kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Asean (ASG).
Jelasnya, catatan masa itu menyaksikannya berada di kedudukan ke-13 pelari terbaik dunia untuk usia 17 tahun serta di posisi kedua terbaik Asia.
“Saya buat 13.4s di saringan dan sebenarnya sewaktu final (MSSM) saya sasar untuk buat 13.2s, namun tidak berjaya tetapi masa 13.51s yang dilakukan juga agak baik kerana saya dapat kekalkan masa di bawah 13.5s.
“Selepas ini saya sasar masa lebih baik pada kejohanan ASG di Vietnam bulan hadapan sekali gus berada di kedudukan 10 terbaik dunia bawah 17 tahun,” katanya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Dalam saingan semalam, Hazriq yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Malaysia (Sukma) 2022, menepati ramalan dengan meraih emas dengan mencatatkan masa 13.51s.
Acara 100 meter lari berpagar perempuan bawah 18 tahun pula milik pelari Kelantan, Fatin Nashira Mohd. Fadzil, 17.
Terdahulu, pasukan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) mendominasi acara 4×100m apabila meraih tiga emas dalam perlumbaan akhir.
Hazriq mengetuai kuartet Johor meraih emas lelaki bawah 18 tahun.
Negeri itu untuk memenangi saingan bawah 18 tahun dan lelaki bawah 15 tahun.