PETALING JAYA: Kekalahan 0-2 kepada Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka, Selasa lalu mendedahkan kekurangan terbesar Harimau Malaya ketika ini adalah tidak memiliki variasi corak permainan.
Ia jelas apabila taktikal menggunakan kepantasan Arif Aiman Hanafi dan Faisal Halim dari sayap kiri serta kanan mudah ‘dihadam’ Tajikistan, sedangkan strategi itu berkesan ketika Malaysia mengalahkan India 4-2 dalam aksi sebelumnya.
Jika dilihat corak permainan India, barisan pertahanannya naik lebih tinggi berbanding Tajikistan yang lebih ke bawah sehingga menyukarkan pemain sayap negara melakukan larian belakang pertahanan.
Dalam masa sama, skuad kebangsaan dilihat kurang pemain tengah kreatif yang mampu melakukan umpanan berbahaya kepada penyerang, selain melakukan rembatan tepat daripada luar kotak penalti.
Secara keseluruhan kekalahan berkenaan bukanlah satu persembahan yang buruk daripada barisan pemain.
Begitupun ia ‘menjentik’ barisan kejurulatihan Harimau Malaya supaya mencari lebih banyak cara penyelesaian apabila berdepan beberapa pasukan berbeza.
Bekas pemain kebangsaan Shahrom Kalam berkata, jelas terlihat kesukaran pemain negara menembusi benteng Tajikistan yang bertahan dengan cukup berdisiplin.
“Kita kalah kepada pasukan yang mempunyai struktur baik dan mereka tahu kelebihan kita iaitu intensiti tinggi ketika menyerang.
“Kalau kita lihat ketika melawan India, kita dapat manfaatkan larian-larian di belakang pertahanan lawan, namun taktikal Tajikistan yang bertahan lebih bawah dengan hanya satu pemain mereka di depan menyukarkan pemain kita melakukan perkara sama.
“Cara mereka bertahan menyukarkan Arif Aiman dan Faisal melakukan larian.
“Daripada sudut positif kita miliki kekuatan tersendiri tetapi perlu variasikan lagi corak menyerang terutama bertemu pasukan bertahan seperti ini.
“Kita juga tiada perancang utama yang mampu melakukan umpanan-umpanan bahaya, termasuk penyerang yang miliki penyudah cukup tajam (menjaringkan gol walaupun dengan satu peluang),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Shahrom, Malaysia perlu segera mencari kreativiti apabila menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 kerana akan berdepan tiga pasukan berbeza.
Dalam aksi kelayakan, pasukan negara diletak dalam Kumpulan D bersama Kyrgyzstan, Oman dan Taiwan.