PETALING JAYA: Hakim Danish Ramli akan terus diberi pendedahan sewajarnya di Eropah oleh ZK Racing, apabila pelumba muda negara itu disahkan akan beraksi pada Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.
Pelumba berusia 16 tahun itu akan berlumba dalam kategori Pre-Moto3 bersama pasukan Frando Racing VHC Team.
Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin berkata, pendedahan untuk Hakim Danish itu dibuat atas inisiatifnya sendiri kerana menyedari pelumba remaja tersebut amat memerlukan pengalaman berlumba bersama pelumba-pelumba Eropah.
“Walaupun, Hakim Danish sudah banyak pengalaman berlumba di Eropah, tetapi, saya tetap percaya bahawa saya perlu mengambil setiap peluang yang ada dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh ZK Racing di sini, hari ini.
Zulfahmi yang juga merupakan bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara berharap, Hakim Danish dapat mempelajari sesuatu yang berharga dan mengambil setiap perkara positif daripada perlumbaan tersebut.
Anak kelahiran Terengganu itu kini berpangkalan di Eropah dan diberi pendedahan bersaing dalam European Talent Cup (ETC) dan Red Bull MotoGP Rookies, musim ini.
Dia menutup aksinya pada Red Bull MotoGP Rookies di kedudukan ke-12 keseluruhan setelah mengumpul 70 mata pada penampilan sulungnya dalam kejuaraan tersebut sebagai pelumba tetap.
Hakim Danish yang muncul selaku pelumba pertama Malaysia menjuarai Asia Talent Cup (ATC), musim lepas, kini berada di kedudukan ke-17 keseluruhan dengan 24 mata untuk perlumbaan ETC.
Keputusan yang dicatat Hakim Danish pada ETC, mahupun, Red Bull MotoGP Rookies Cup sudah cukup menunjukkan bahawa pelumba itu amat memerlukan pendedahan yang lebih banyak di pentas Eropah.
Status sebagai juara ATC tidak cukup untuk meletakkan Hakim Danish sebagai pelumba kompetitif di pentas Eropah kerana prestasinya itu turut menjadi cerminan untuknya berlumba pada Kejuaraan Motosikal Dunia pada satu hari nanti. – UTUSAN