PETALING JAYA: Teruja mendapat tawaran menyertai JDT Racing Team, pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah melaungkan azam untuk menjulang pasukan itu apabila membuat penampilan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tahun depan.
Hafizh, 29, yang sedang beraksi dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 berkata, peluang yang ditawarkan pasti tidak akan dilepaskan mana-mana pelumba, dan dia akan menggunakan sebaik-baiknya untuk membawa JDT ke tahap tertinggi.
Ketika ini, Hafizh masih berlumba untuk pasukan Petronas MIE Racing Honda dalam WSBK, perlumbaan berprestij di mana sesetengah pelumbanya seperti Max Biaggi, Marco Melandri, Colin Edwards dan Shinya Nakano pernah beraksi pada saingan MotoGP.
“Saya amat bersyukur, teruja dan berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian keluarga JDT.
“JDT telah terbukti membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan profesional. Jika dilihat kemampuan dari segi fasiliti, kemajuan dan sumber yang disediakan pun sangat baik.
“Saya harap saya dapat menunjukkan kebolehan saya yang sebenar dalam memastikan JDT Racing Team berjaya sebagai pasukan yang boleh menaikkan nama JDT dalam sukan permotoran.
“Jika mana-mana atlet diberi peluang dan berkhidmat untuk JDT, sudah pasti mereka tidak akan lepaskan peluang ini.
“Oleh itu, saya amat menantikan kerjasama bersama JDT Racing Team pada tahun 2024 dalam ARRC,” kata Hafizh pernah beraksi di pentas tertinggi MotoGP. – UTUSAN