Giliran Zii Jia benam Hong Yang di Perancis - Utusan Malaysia

Giliran Zii Jia benam Hong Yang di Perancis

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia menebus kembali maruahnya dengan membenam Weng Hong Yang pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Rennes, Perancis, hari ini.

Zii Jia melakar kemenangan straight set ke atas pemain muda China itu 21-15, 21-11 untuk mencatat pertemuan dengan seorang lagi wakil China yang menghuni ranking No. 5 dunia, Li Shi Feng pada pusingan kedua.

Hujung minggu lalu, Hong Yang menyekat hajat Zii Jia untuk menjulang gelaran kedua berturut-turut pada Jelajah Dunia, apabila mengalahkan pemain No. 11 dunia itu pada perlawanan akhir Terbuka Denmark.

Zii Jia yang pada awalnya mahu menarik diri daripada menyertai Terbuka Perancis membatalkan hasratnya itu dan keputusan tersebut ternyata berbaloi apabila dia berjaya membalas dendam ke atas Hong Yang.

Turut mengikut jejak langkah Zii Jia ialah pemain No. 18 dunia, Ng Tze Yong yang mengetepikan cabaran pemain Belanda, Mark Caljouw menerusi kemenangan straight set 21-9, 21-9 dalam masa 35 minit.

Pada peringkat seterusnya, Tze Yong bakal berdepan wakil tuan rumah, Arnaud Merkle.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, dua beregu negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut melepasi halangan awal.

Soon Huat-Shevon menewaskan pasangan Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang 21-9, 21-8 dalam masa 24 minit.

Tang Jie-Ee Wei pula menundukkan Mads Vastergaard-Christine Busch dari Denmark 21-12, 21-15 dalam masa 31 minit.

Pada pusingan kedua, Soon Huat-Shevon akan bertemu Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong, manakala, Tang Jie-Ee Wei turut berdepan pencabar dari negara sama, Reginald Lee-Ng Tsz Yau.

Bagaimanapun, langkah beregu muda Malaysia yang menghuni ranking No. 20 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terhenti apabila tumpas ditangan Rasmus Kjaer-Federik Sogaard dari Denmark 21-18, 18-21, 15-21. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya