PARIS: Jurulatih New Zealand, Ian Foster akan melakukan perubahan taktikal dalam final Ragbi Piala Dunia bagi menyaingi skuad serba lengkap Afrika Selatan hari ini (3 pagi esok waktu Malaysia).
Antara perancangan Foster, termasuk menamakan Brodie Retallick dalam senarai 15 pemain skuad utama, menggantikan Sam Whitelock.
Foster juga membawa masuk Samisoni Taukei’aho dan Nepo Laulala untuk menambah saiz dan kekuatan scrum bagi mengimbangi Springboks.
“Sudah tentu ini adalah tindak balas (terhadap scrum Afrika Selatan ketika menumpaskan England). Kami memerlukan lebih banyak taktik untuk berdepan mereka.
“Laulala adalah scrum yang sangat kuat dan berpengalaman. Dia telah dilatih dengan baik.
“Dia mungkin kecewa tidak bermain dalam dua perlawanan terakhir, jadi ini kesempatan hebat untuknya.
“Selain memiliki Taukei’aho, dan pemain seperti Whitelock di bangku simpanan, kami benar-benar turun dengan keyakinan tinggi,” kata Foster.
Ox Nche (Afrika Selatan) dipuji sejak separuh akhir menentang England sebagai orang paling ‘merosakkan di dunia’ kerana penguasaan scrum yang hebat, dan jelas All Blacks sudah bersedia mengurangkan pengaruh pemain itu.
Foster berpegang kepada skuad asalnya yang mantap dalam final nanti, di mana dia memilih gabungan pilihan kedua, Retallick dan Scott Barrett untuk diturunkan.
Richie Mo’unga juga berjaya mendapat tempat dikhabarkan mengalami kecederaan.
Foster jelas terhibur dengan cara dia mengatur strategi untuk memastikan semuanya tepat dan padu berdepan Afrika Selatan.
Pertemuan Afrika Selatan dan New Zealand dianggap pertembungan paling epik dalam sejarah Ragbi Piala Dunia.
Kedua-dua pasukan memiliki reputasi besar dan kekuatan hebat sepanjang kempen di Perancis.
Jika Springboks turun sebagai juara bertahan dan pasukan No. 1 dunia, All Blacks pula berada di ranking kedua dunia.
Kedua-dua pasukan akan bertarung di Stade de France hari ini dengan membawa misi yang sama – memburu kejuaraan dunia buat kali keempat. – AGENSI