PARIS: Fiji dilanda satu lagi tragedi keluarga hanya beberapa hari sebelum turun menentang England pada suku akhir Ragbi Piala Dunia di Stade Velodrome, Paris, Ahad ini.
Tonggak pasukan, Sam Matavesi menerima perkhabaran sedih mengenai kematian bapanya, Sireli Matavesi.
Ini berita kematian kedua melanda skuad Fiji hanya seminggu selepas Josua Tuisova kehilangan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.
Matavesi yang beraksi di posisi hooker bergegas pulang ke Cornwall, England untuk majlis pengebumian bapanya, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia akan turun beraksi hujung minggu nanti.
Bagaimanapun penolong jurulatih, Seremaia Bai mendedahkan Matavesi telah menyatakan hasrat untuk kembali ke Perancis dan membantu negaranya yang dalam misi untuk mencipta satu lagi kemenangan bersejarah di Piala Dunia.
“Ini detik yang amat sukar, kami perlu kekal bersama dan menjaga antara satu sama lain. Bagi kami di Fiji, keluarga ada segala-galanya. Jika seorang menderita, kami juga akan turut terkesan.
“Kami kini berada jauh dari Fiji, 15 minggu kami terpisah dengan keluarga sejak memulakan kempen ini, jadi kami telah menjadi semakin akrab antara satu sama lain dan kini masing-masing juga sudah seperti keluarga sendiri,” jelas Bai.
Kali terakhir Fiji berjaya ke suku akhir adalah pada edisi 2007 yang menyaksikan Baia turut membarisi pasukan yang menyingkirkan Wales di Nantes sebelum tumpas kepada Afrika Selatan.
Tahun ini, Fiji telah melakar dua sejarah apabila menumbangkan dua kuasa besar, England di Twickenham dan Australia ketika di peringkat kumpulan.
Justeru, Fiji yang kini berada di ranking ke-10 dunia melihat mereka berpeluang untuk mencipta satu lagi kemenangan ke atas England, sekali gus meraih tiket ke separuh akhir.
“Jika kami menang, saya rasa Fiji akan mengumumkan cuti selama satu minggu. Ia sememangnya gila, dan kemenangan akan menjadi sejarah hebat,” tambahnya. – AGENSI