KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan tawaran Malaysia menjadi tuan rumah kepada Palestin untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Setiausaha Agung FAM,, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya menyedari tentang pelawaan untuk Malaysia menjadi tuan rumah selepas melihat ciapan yang dibuat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim di laman Twitter.
“Perkara ini akan dibincangkan nanti kerana kita sedar selepas ciapan dari Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. Kita akan bincangkan dan maklum kepada semua nanti,” kata Noor Azman bagi mengulas mengenai pelawaan berkenaan.
Terdahulu, Noor Azman menghadiri sidang akhbar pelancaran program Road To Doha bersempena Piala Asia 2023 di sini hari ini.
Difahamkan, sebelum ini Algeria telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah, namun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak memberikan kebenaran atas alasan Algeria berada di Afrika dan Palestin perlu memohon venue neutral baharu yang berada di Asia.
Susulan itu, Adam Adli menerusi satu hantaran di laman Twitternya menyatakan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menjadi pilihan.
“Kami (KBS) telah berhubung dengan Kedutaan Palestin dan membuat tawaran bagi menganjurkan perlawanan di antara Palestin dan Australia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bulan depan,” kata Adam melalui ciapan di Twitter miliknya.
Palestin yang diundi dalam Kumpulan I bersama-sama Australia, Lebanon dan Bangladesh akan memulakan saingan bertemu Lebanon pada 16 November manakala aksi bertemu Australia dijadualkan pada 21 November.
Sebelum ini, Palestin terpaksa menarik diri pada saat akhir untuk menyertai Pestabola Merdeka 2023 selepas mereka tidak dapat terbang ke Malaysia ekoran peperangan dengan Israel yang menyebabkan pintu keluar negara itu ditutup.-UTUSAN