PARIS: Tonggak England, Billy Vunipola mengakui tidak kisah dengan gelaran ‘musuh awam nombor satu’ menjelang pertemuan suku akhir Ragbi Piala Dunia menentang Fiji, Ahad ini.
Skuad kendalian Steve Borthwick akan berdepan Fiji yang membawa harapan bukan sahaja Kepulauan Pasifik tetapi setiap orang awam di Perancis.
England dicemuh dalam aksi pembukaan menentang Argentina dan kedengaran penyokong mereka sendiri melaungkan Allez Les Bleus sebagai tanda sokongan kepada Samoa hujung minggu lalu.
Selepas latihan di Aix, 25 batu di utara Marseille di mana perlawanan akan berlangsung hujung minggu ini, Vunipola diberitahu bahawa Fiji adalah pasukan kedua untuk peminat Perancis sedangkan England dilihat sebagai orang ‘jahat’.
“Saya tidak akan mengatakan Fiji adalah pasukan kegemaran kedua mereka (peminat Perancis), saya akan mengatakan England adalah pasukan paling tidak digemari nombor satu.
“Menjadi musuh awam nombor satu, kami gembira untuk mengambil gelaran itu,” ujar Vunipola.
Berdasarkan sejarah, itu adalah perkara yang perlu ditanggung England apabila menentang negara-negara komanwel atau yang pernah menjadi tanah jajahan Britain.
“Saya rasa perlawanan pertama menentang Argentina, kami menerima ejekan dan sebagainya.
“Ia masa yang mengujakan. Sama ada orang suka anda atau tidak, itu tidak penting.
“Sekarang kami berada di suku akhir Piala Dunia. Selagi anda mempunyai keluarga dan rakan-rakan di belakang, yang lain tidak mengapa. Kami akan sentiasa tampil dengan bersemangat,” kata Tom Curry.
Katanya, England mempunyai pakej lengkap di atas padang tanpa perlu bimbang tentang apa yang berlaku di luarnya. – AGENSI