PETALING JAYA: Enam pengadil muda negara akan berguru di Dammam, Arab Saudi selain turut menjalani kursus tambahan video bantuan pengadil (VAR) dan latihan praktikal bermula 22 hingga 27 Oktober ini.
Enam pengadil tersebut dipilih berdasarkan prestasi yang baik dalam Liga Malaysia serta menunjukkan komitmen yang baik sepanjang latihan VAR di Malaysia, sekali gus dilihat berpotensi melebarkan sayap ke persada lebih tinggi.
Mereka terdiri daripada empat pengadil iaitu, Tuan Mohd. Yaasin Tuan Mohd. Hanafiah, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman, Mohamad Kamil Zakaria Ismail, Muhammad Munir Mohd. Izam serta dua penolong pengadil, Kesava Raj dan Mohd. Shafiq Ahmad Said.
Inisiatif berkenaan adalah selari dengan misi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mahukan lebih ramai pengadil berguru di luar negara.
“Semoga ilmu yang diperoleh di Arab Saudi ini dapat memberi manfaat dalam tugasan mereka terutama dalam memartabatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara,” kata Hamidin dalam satu kenyataan semalam.
Dengan usaha ini diharap lebih ramai mengikut jejak langkah pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd. Arif Shamil Abd Rasid yang akan ke Piala Asia 2023, di Qatar, Januari depan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM merangkap Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram turut menyokong usaha ini dengan menyatakan FAM akan terus memastikan lebih ramai pengadil muda diberi latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa.
FAM juga ketika ini sedang rancak menjalankan latihan VAR bagi 40 pengadil sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia 2024/2025. – UTUSAN