Eain Yow, Sivasangari ketuai cabaran Malaysia ke suku akhir

Eain Yow, Sivasangari ketuai cabaran Malaysia ke suku akhir

NG EAIN YOW yang diletakkan sebagai pilihan pertama mara ke suku akhir selepas menundukkan Syed Azlan Amjad pada peringkat 16 terbaik Sukan Asia di Hangzhou, China, hari ini. - Ihsan WSF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perseorangan skuasy utama Malaysia, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari melayakkan diri ke suku akhir selepas membuka aksi dengan kemenangan pada peringkat 16 terbaik Sukan Asia di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China, hari ini.

Juara Asia, Eain Yow yang turun sebagai pilihan pertama menewaskan Syed Azlan Amjad dari Qatar 11-3, 11-1, 11-2 dalam masa 20 minit.

Rakan senegaranya, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar turut mengikut jejak langkah pemain No. 19 dunia itu, tetapi dia dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan pemain Sri Lanka, Hashintha Laksiri Ravindu 10-12, 11-6, 11-7, 13-11 dalam aksi berlangsung selama hampir sejam.

Addeen ketika dihubungi selepas perlawanan berkata, dia tak bermula baik apabila membiarkan lawan menguasai permainan.

“Saya kena bersedia lebih baik untuk suku akhir bertemu pemain Qatar, Abdulla Tamimi, dia pilihan keempat.

“Abdulla memiliki permainan yang laju, saya perlu berbincang dengan jurulatih untuk perlawanan, esok, harap dapat mempamerkan persembahan yang baik,” katanya.

Dalam saingan wanita, Sivasangari yang kini berada pada prestasi terbaik sejak kembali ke gelanggang selepas berehat panjang kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya, tahun lalu, hanya memerlukan 14 minit untuk mengetepikan Noor Ul Ain Ijaz dari Pakistan 11-3, 11-2, 11-1.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu yang menjadi tonggak Malaysia meraih pingat emas dalam acara berpasukan, kelmarin, dilihat mempunyai peluang cerah membawa pulang emas kedua untuk sukan skuasy sekalipun hanya diletakkan sebagai pilihan ke-3/4.

Selain Sivasangari, Malaysia turut mempertaruhkan naib juara remaja dunia, Aira Azman dalam perseorangan wanita, memandangkan kakaknya, Aifa mahupun Rachel Arnold beraksi dalam beregu campuran yang berlangsung serentak dengan acara perseorangan.

Aira, 19, yang juga juara remaja Asia turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Liu Kwai Chi dari Macau 11-0, 11-4, 11-4 hanya dalam masa 16 minit.

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan C beregu campuran, Ivan Yuen-Rachel mengalahkan wakil Nepal, Amir Bhlon-Swasthani Shrestha 11-6, 11-2 hanya dalam masa 11 minit.

Esok, beregu No. 2 negara itu perlu menang ke atas pasangan Hong Kong, Wong Chi Him-Lee Ka Yi jika berhajat mara ke suku akhir.

Bagi gandingan No. 1 Malaysia, Mohamad Syafiq Kamal-Aifa Azman yang tidak beraksi, hari ini, telahpun mengesahkan slot suku akhir menjadi milik mereka, apabila mencatat dua kemenangan dalam aksi Kumpulan B, semalam.

Dalam perlawanan terakhir, esok, Syafiq-Aifa akan turun menentang Robert Andrew Garcia-Jemyca Aribado dari Filipina bagi menentukan juara dan naib juara kumpulan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya