PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Kapten Harimau Malaya, Dion Cools akan bersama JDT pada masa akan datang.
“Gaji Dion Cools terlampau mahal bagi kami. Buriram (United) bayar gaji yang terlalu mahal tetapi saya tahu dia ingin bermain di Malaysia dan saya tak rasa pemain itu akan bermain dengan pasukan lain.
“Kami ada perhubungan baik. Dia tahu berkenan projek infrastruktur dan agenda di JDT dengan jelas. Suatu hari nanti Cools akan jadi pemain JDT,” kata Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam program segmen Nindia Bola.
Sebelum ini, pemain kacukan Malaysia-Belgium itu dikaitkan dengan perpindahan ke JDT dengan Tunku Ismail menyatakan bahawa Cools mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyarung jersi pasukan terbabit.
Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail berharap kelab-kelab lain di Liga Malaysia (Liga M) menjaga kebajikan pemain masing-masing
“Saya berharap dan menyeru kelab-kelab menjaga kebajikan pemain-pemain mereka.
“Macam Kedah, Kelantan, Sarawak United yang masih berhutang lagi dulu, Kuala Lumpur juga yang ada masalah buat masa ini, Melaka yang masih belum selesaikan masalah dulu.
“Jadi, saya harap akan ada perancangan-perancangan atau tindakan yang akan diambil di mana kebajikan pemain dijaga,” kata Tunku Ismail.-UTUSAN