PETALING JAYA: Berdepan lawan lebih tinggi dan hanya membuat penampilan sulung Sukan Asia, semua itu tidak melunturkan semangat Muhammad Arif Afifuddin Ab. Malik untuk meraih pingat emas keenam Malaysia semalam.
Pada ketika ramai yang tidak meletakkan harapan kontinjen negara akan menambah pungutan emas di Hangzhou, atlet karate berusia 23 tahun itu membalas segala keraguan dengan memenangi emas kumite bawah 84 kilogram (kg).
Arif menumpaskan pencabar berpengalaman dari Kazakhstan, Daniyar Yuldashev 10-4.
Malah, dia tetap meneruskan pertarungan dalam keadaan mata kanan bengkak ketika saingan berbaki beberapa saat, sekali gus menjadikan emas yang diraih lebih bermakna.
Bagi pengurus karate negara, S. Sukumaran, beliau sudah lama yakin atlet berketinggian 1.83 meter (m) itu mampu layak ke pentas akhir, namun tidak menduga dia akan meraih emas, kejayaan yang dianggap luar biasa.
Kata Sukumaran, kejayaan itu tidak mudah kerana Arif berdepan kecederaan belakang badan dan rusuk dua minggu sebelum Sukan Asia bermula.
“Saya kagum dengan Arif, dia sedikit pun tidak mengeluh atau mengadu tentang kesakitannya sebelum berlawan di final tadi.
“Dua minggu lalu, Arif baru alami kecederaan rusuk, dan Julai lalu semasa Kejohanan Asia pula dia cedera belakang badan.
“Sejujurnya saya memang yakin Arif akan menang walaupun dia berdepan kecederaan sebelum ke Hangzhou.
“Semangatnya untuk berlawan sedikit pun tidak goyah dan lebih baik daripada sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam aksi separuh akhir, Arif menewaskan Baek Junhyeok dari Korea Selatan, 5-2 selepas meraih kemenangan sengit ke atas Sandi Firmansyah dari Indonesia, 4-3 di suku akhir.
Sementara itu, dua lagi atlet karate menerima nasib berbeza selepas terkandas awal.
Bagi kumite bawah 67kg, S. Prem Kumar tumbang 0-8 kepada atlet Kazakhstan, Amarali Didar dan terlepas peluang beraksi di pusingan repecharge.
Ini kali pertama pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu bertanding dalam kategori terbabit memandangkan dia sebelum ini berentap dalam kategori 60kg.
Langkah P. Madhuri pula tersekat di pusingan 16 akhir apabila tewas di tangan atlet Jordan, Mansour Leen bagi kategori bawah 55kg wanita.
Madhuri gagal mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila tumbang 2-11 di tangan lawannya itu.