KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih menunggu nasihat daripada kontraktor rumput sebelum membuat keputusan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula kena memikirkan venue alternatif jika Kyrgyzstan menolak untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 16 November ini.
Itu situasi semasa mengenai venue yang akan digunakan Harimau Malaya apabila menerima kunjungan Kyrgyzstan dalam aksi pertama Kumpulan D kerana buat masa ini apa sahaja boleh berlaku biarpun FAM pada dasarnya mahu kekal di Bukit Jalil.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya mempunyai alternatif lain sekiranya Kyrgyzstan menolak bermain di SNBJ.
“Setakat hari ini kekal di SNBJ, namun kita sentiasa memikirkan alternatif tapi buat masa ini tiada keperluan lagi,” katanya.
Rumput Zeon Zoysia yang belum matang hingga mencacatkan Pestabola Merdeka mengundang banyak kritikan, malah dilihat tidak bersedia menganjurkan perlawanan berintensiti tinggi.
Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac ketika ditanya mengenai keadaan terkini SNBJ kurang sebulan sebelum menghadapi perlawanan menentang Kyrgyzstan mengakui, perlu mendapatkan pandangan kontraktor sebelum membuat keputusan (layak untuk digunakan atau tidak).
“Harap maklum, kami masih menunggu review dan nasihat daripada kontraktor rumput. Selepas itu, kami akan keluarkan satu kenyataan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Seandainya SNBJ ‘ditolak’ alternatif lain adalah Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Stadium Sultan Mizan di Gong Badak dan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.