Belanjawan 2024: KBS mohon pelepasan cukai yuran latihan

Belanjawan 2024: KBS mohon pelepasan cukai yuran latihan

HANNAH Yeoh ketika melancarkan Kejohanan U.S Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 di Menara KBS, Putrajaya hari ini. - IHSAN KBS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap pengecualian cukai terhadap yuran latihan dalam aktiviti pembangunan sukan diberikan keutamaan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau telah menyuarakan dan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan berharap ia dapat diluluskan agar pihak yang mengeluarkan kos atau yuran latihan sukan dapat menikmati pelepasan cukai.

Beliau berkata, sebelum ini pengecualian cukai diberikan kepada individu yang membuat pembelian alatan sukan, tetapi KBS berharap ibu bapa yang mengeluarkan belanja bagi tujuan latihan sukan anak-anak mereka diberikan pelepasan cukai.

“Dengan adanya insentif ini, ia akan menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka menjalani latihan sukan dan dari situ lebih banyak duit dapat disalurkan seperti memberikan peluang pekerjaan buat jurulatih serta pada masa sama melahirkan bakat besar dalam sukan.

“Saya (KBS) tidak memerlukan duit yang banyak, tetapi jika polisi itu dapat direalisasikan ia dapat membantu pembangunan sukan. Kalau nak cemerlang dalam sukan kena melabur, Sukan Asia sudah buktikan semuanya perlukan duit dan semuanya berkait.

“Jadi saya berharap dapat peruntukan yang mencukupi dapat disalurkan kepada KBS dalam Belanjawan 2024,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kejohanan U.S Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 di Menara KBS hari ini.

Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Februari tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM324 juta kepada KBS untuk program latihan dan kemudahan sukan untuk memacu kecemerlangan sukan di Malaysia.

Mengulas mengenai Kejohanan U.S Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 yang turut mendapat tajaan Mazda, Hannah berkata, kejohanan berkenaan amat dialu-alukan kerana ia melibatkan pembabitan pemain-pemain remaja yang selepas mampu mengharumkan nama negara.

“Ini adalah idea yang bagus daripada Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel), buat kejohanan untuk pemain remaja. Jadi, saya berharap ibu bapa dapat menggunakan peluang ini untuk mendaftarkan anak masing-masing untuk menyertainya,” kata Hannah.

Menerusi kejohanan itu, SportExcel akan menganjurkan enam Jelajah Tempatan US Kids dengan penyertaan membabitkan pemain remaja berumur lima hingga 18 tahun selain pemain juga boleh mengumpul mata untuk meningkatkan status kelayakan ke Kejohanan Dunia Golf US Kids 2024.

SportExcel memberi sumbangan besar kepada golf remaja di Malaysia, termasuk melahirkan bintang muda seperti pemenang pingat emas wanita Sukan SEA 2023, Ng Jing Xuen dan pemenang pingat emas acara lelaki Sukan SEA 2021, Ervin Chang. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya