HANGZHOU: Kecewa hanya membawa pulang satu pingat gangsa dalam Sukan Asia di Hangzhou, kem badminton negara akan melakukan analisis terperinci prestasi keseluruhan pemain di Sukan Asia Hangzhou.
Tampil dengan sasaran memburu dua perak dan satu gangsa, Malaysia bagaimanapun hanya meraih sebutir gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Dalam temasya di Jakarta/Palembang lima tahun lalu, skuad negara pulang dengan tangan kosong.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, mereka akan menganalisis prestasi pemain dan menyemak semua program yang dijalankan sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kami akan meneruskan apa yang berkesan tetapi lepaskan perkara-perkara yang melemahkan untuk memastikan kemajuan kami ke Olimpik.
“Sukan Asia ibarat Olimpik mini, jadi kita mesti mengelak daripada mengulangi kesilapan.
“Untuk mencapai kejayaan di Olimpik, kita mesti laksanakan perubahan bukan sahaja dalam kejurulatihan dan pengurusan tetapi juga memastikan pemain memahami perubahan ini serta melaksanakannya dengan penuh komitmen.
Sukan Olimpik hanya tinggal (kira-kira) lapan bulan lagi, jadi semua orang perlu berdedikasi sepenuhnya,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi pemain, beliau berkata walaupun Aaron-Wooi Yik beraksi cemerlang sepanjang kejohanan, mereka kelihatan bergelut dengan keyakinan dan kekuatan pada separuh akhir.
Aaron-Wooi Yik, juara dunia 2022, terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas tewas 17-21, 12-21 kepada Satwiksairaj Rankireddy-Shirag Chetty dari India kelmarin.