KUALA LUMPUR: Pergerakan masuk penyokong ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menyaksikan aksi final Harimau Malaya menentang Tajikistan agak perlahan ketika ini biarpun tiket yang terjual setakat ini lebih 30,000 keping.
Faktor hari bekerja berkemungkinan menjadi punca penyokong lambat sampai ke stadium untuk menyaksikan aksi final Pestabola Merdeka 2023 dan dijangka penyokong akan mula memenuhi SNBJ sekitar pukul 8 malam.
Sehingga pukul 5 petang tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, sebanyak 33,461 keping tiket telah terjual untuk aksi final tersebut.
Untuk rekod, Harimau Malaya mara ke final selepas menumpaskan India 4-2 manakala, Tajikistan mara ke final tanpa mengeluarkan peluh selepas mendapat ‘bye’ kerana penarikan diri Palestin pada saat-saat akhir.-UTUSAN