LONDON: Arsenal membuktikan mereka masih antara pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mereka membelasah Sheffield United 5-0 sebentar tadi.
Biarpun skuad Gunners turun tanpa penyerang Brazil, Gabriel Jesus dan pemain tengah Thomas Partey yang mengalami kecederaan, ia tidak menjejaskan momentum pasukan.
Sebaliknya Eddie Nketiah mengambil peluang ini untuk membuktikan bahawa dia bukan tunggul kayu dalam pasukan apabila menjaringkan hatrik untuk Arsenal bermula pada minit ke 28 setelah menyempurnakan hantaran Declan Rice.
Dua lagi gol hadir pada babak kedua, masing masing pada minit ke 50 dan 58.
Anak buah Mikel Arteta menambah duka Sheffield apabila dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung permainan dengan Fabio Veira tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Wes Foderingham di gawang.
Tatkala masa hampir menuju ke penamatnya, Takehiro Tomiyasu menambah gol kelima Arsenal, berpunca daripada sepakan penjuru, sekaligus memberikan tiga mata penting buat pasukannya.
Dalam satu lagi perlawanan, jiran Arsenal, Chelsea pula diaibkan Brentford di laman sendiri.
Jaringan Ethan Pinnock pada minit ke 58 dan Bryan Mbeumo kembali meletakkan skuad Mauricio Pochettino dalam situasi sukar apabila kini mereka berada di tangga ke sebelas liga.