PARIS: Juara tiga kali, New Zealand dan Argentina sedia bertarung di atas padang basah dan licin dalam separuh akhir Ragbi Piala Dunia hari ini (3 pagi esok waktu Malaysia) kerana hujan dijangka mengiringi pertarungan mereka.
Pakar Perbadanan Penyiaran Britain meramalkan, 15 peratus hujan akan membasahi Paris ketika perlawanan berlangsung dan cuaca mampu mencecah 14 darjah Celsius.
Sehari sebelum perlawanan, mereka menjangkakan 75 peratus venue pertandingan, Stade de France akan dibasahi hujan dan padang menjadi lembap.
Ramalan cuaca boleh berubah-ubah dan sekiranya hujan tiba lewat daripada jangkaan, terdapat kemungkinan besar skuad All Blacks dan Los Pumas akan bermain dalam hujan.
Jurulatih Argentina, Michael Cheika mengakui, ramalan kaji cuaca amat penting buat mereka kerana hujan mungkin membawa kepada perubahan pelan serta taktikal permainan.
“Ia (hujan) akan mengubah pelan permainan tetapi asas penting yang kita bincangkan kekal sama,” katanya.
Katanya, pendekatan Los Pumas untuk menentang New Zealand tidak banyak berbeza walaupun keadaan cuaca berubah.
“Ya, hujan mengubah butiran tetapi asas permainan adalah memenangi setiap bola,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali All Blacks, Ian Foster melakukan dua pertukaran daripada skuad yang menumpaskan Ireland pada suku akhir.
Pemain sayap, Mark Tele’a kembali dibawa masuk selepas digugurkan ketika New Zealand menumpaskan Ireland 28-24 gara-gara melanggar protokol pasukan. Turut disenaraikan Leicester Fainga’anuku.
“Ia pasukan yang kami fikir terbaik untuk minggu ini. Mark telah menghabiskan masa, melakukan kesilapan sebelum ini dan menerima apa yang sepatutnya (hukuman).
“Bagaimanapun dia adalah pemain sayap terbaik kami, dan kami amat mempercayainya, jadi kami memerlukan yang terbaik untuk berdepan Argentina,” kata Foster. – AGENSI