PARIS: Tonggak New Zealand, Richie Mo’unga menegaskan, All Blacks gembira membawa gelaran underdog apabila berdepan pasukan No. 1 dunia, Ireland dalam suku akhir Ragbi Piala Dunia hari ini (3 pagi esok waktu Malaysia).
Ini kali pertama juara tiga kali itu turun sebagai pasukan bukan pilihan di pentas Piala Dunia, sebaliknya Ireland menjadi kegemaran ramai untuk memenangi pertarungan di Stade de France.
“Sebagai pemain, ia (status pasukan bukan pilihan) bukan masalah besar bagi kami.
“Anda tidak boleh mengelak daripada mengakui betapa hebatnya Ireland ketika ini melihat kepada apa yang telah mereka capai sejak beberapa tahun lalu.
“Mereka pasukan terbaik di dunia sekarang. Kami tidak perlu menjadi pasukan terbaik, cukup beraksi dengan baik pada hari perlawanan,” kata Mo’unga.
Mo’unga, 29, antara pemain yang bakal mengucapkan selamat tinggal kepada All Blacks sebaik sahaja tamat Piala Dunia.
Justeru, pertembungan dengan Ireland menjadi motivasi buatnya dan rakan-rakan untuk tidak menjadikan ia penampilan terakhir mereka di Perancis.
“Ini motivasi terbesar buat diri saya. Piala Dunia kadang-kala boleh menjadi amat kejam, apabila membabitkan perkara sangat kecil atau detik tidak diduga.
“Satu lagi motivasi yang saya miliki adalah kami mahu membuktikan kemampuan All Blacks 2023, ini motivasi paling besar.
“Kami sedar kemampuan kami, dan peluang yang terhidang di hadapan, jadi kami cuba mencapainya, memenuhi potensi yang pasukan ini miliki,” jelas Mo’unga.
Generasi baharu All Blacks ketika ini tidak berupaya untuk mendominasi kancah ragbi dunia seperti mana dilakukan barisan pemain sebelum ini.
Bagaimanapun bagi Mo’unga, perlawanan hari ini menentang Ireland akan menjadi menarik sebagai peluang untuk menebus kekecewaan tewas dua kali kepada pasukan tersebut dalam aksi siri perlawanan ujian di laman sendiri pada Julai tahun lalu. – AGENSI