LONDON: Rory McIlroy, Patrick Mahomes dan Trent Alexander-Arnold antara bintang sukan terkemuka yang menyertai pelaburan 200 juta euro (RM1 bilion) dalam pasukan Formula Satu (F1) Alpine Racing.
Bekas juara tinju heavyweight dunia, Anthony Joshua dan bintang bola sepak Manchester United, Juan Mata juga antara bintang sukan menyertai pelaburan yang diketuai oleh firma pelaburan, Otro Capital.
Pelakon Hollywood, Ryan Reynolds, Rob McElhenney dan Michael Jordan adalah sebahagian daripada konsortium asal yang membeli 24 peratus kepentingan di Alpine pada Jun lalu.
“Keghairahan meraih kecemerlangan di padang golf menyebabkan saya mengagumi usaha yang sama dalam perlumbaan F1.
“Berkongsi dengan Otro Capital di Alpine F1 adalah usaha yang menyatukan cinta saya terhadap sukan, persaingan dan usaha tanpa henti untuk menjadi yang terbaik,” kata pemilik empat kejuaraan utama, McIlroy.
Alpine, yang disokong oleh syarikat induk Renault, menduduki tempat keenam dalam kejuaraan pengeluar ketika perlumbaan berbaki lima pusingan pada musim 2023.
“Mereka adalah pelabur, atlet, penghibur dan usahawan dalam kelas masing-masing dan kesemunya komited untuk memartabatkan pasukan F1 Alpine,” kata Alec Scheiner dari Otro Capital. – AGENSI