RANCHI: Skuad hoki wanita negara mengalami kekalahan ketiga dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 apabila tewas 0-4 kepada China dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh, Ranchi sebentar tadi.
Malaysia yang masih segar dengan kejayaan mengikat juara tiga kali kejohanan, Korea Selatan 1-1 semalam gagal meneruskan momentum itu ketika menentang China, yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022.
Pemain lawan, Zhong Jiaqi memainkan peranan utama apabila meledak hatrik untuk kem China bermula pada minit ke 16, 22 dan 51 sementara satu lagi gol dijaringkan oleh Zou Meirong.
Kekalahan ini tidak mengubah kedudukan Malaysia dalam peringkat kumpulan apabila kekal berada di tangga kelima dengan satu mata.
“Walaupun kita tewas dengan keputusan 4-0, tetapi saya merasakan para pemain sudah memberikan aksi yang terbaik, terutamanya pada separuh masa kedua, dimana kita juga kehilangan Hanis (Nadiah Onn) kerana dia telah mengalami kecederaan.
“Situasi itu menyukarkan kami untuk membuat penggiliran kerana kami hanya mempunyai 15 orang pemain.
“Begitu juga kami telah berjaya cuba mengekang beberapa pukulan sudut penalti pihak lawan, hasil daripada perbincangan antara pihak jurulatih dan pemain,” jelas ketua jurulatih wanita, Mohamed Nasihin Nubli Ibrahim.
Skuad negara akan membuat perhitungan terakhir esok menentang Thailand, yang kini turut bergelut untuk meraih sebarang mata.
“Untuk perlawanan menentang Thailand, kami akan cuba untuk mempertajamkan lagi kebolehan kami dari segi pukulan sudut penalti,” tambah Nasihin.