PETALING JAYA: Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat emas yang dimenangi dalam saingan powerlifting 72 kilogram (kg) Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou buat abangnya Bryan Junency Gustin.
Bonnie, 24, berkata, kehadiran Bryan, 26, yang turut mewakili negara dalam powerlifting di Hangzhou menerusi acara 80kg, menyuntik motivasinya untuk membutirkan emas sulung di temasya tersebut.
Atlet yang berasal dari Serian, Sarawak itu yang membuat penampilan kedua dalam Para Asia menghadiahkan emas kelima buat kontinjen negara di Hangzhou selepas melakukan angkatan 230kg, yang juga rekod baharu temasya.
Catatan itu memadam rekod lama milik atlet powerlifting Iran, Roohallah Rostami dengan angkatan seberat 229kg.
Rekod itu sebelum ini dipegang atlet powerlifting Iran Roohallah Rostami dengan angkatan seberat 229kg.
Ogos lalu, Bonnie pernah memberi bayangan dia tidak fokus untuk mencipta rekod baharu dalam temasya empat tahun sekali itu kerana perlu melalui fasa pemulihan kecederaan di bahunya, selain mahu memberi tumpuan lebih kepada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
Tempat kedua dimenangi atlet tuan rumah, China, Hu Peng yang melakukan angkatan seberat 208kg sementara di pingat gangsa dimiliki atlet Uzbekistan, Jamilov Bekzod dengan angkatan 204kg.
“Kehadiran dia mengiringi kejayaan emas ini sangat membantu sebab dia merupakan ahli keluarga. Saya harap emas ini dapat suntik semangat buat dia untuk meraih pingat juga bagi acara dia nanti.
Apa pun saya cukup gembira dengan kejayaan hari ini kerana turut memperbaharui rekod APG,” katanya yang dipetik kepada Bernama.