PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas menyingkirkan beregu veteran Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense, Denmark, hari ini.
Pasangan No. 4 dunia itu dipaksa bermain sehingga ke rubber set sebelum menang 16-21, 21-5, 21-15 ke atas Ahsan-Hendra.
Pada suku akhir, esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan beregu No. 16 dunia, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Gandingan dari China itu menewaskan pasangan tuan rumah, Rasmus Kjaer-Federik Sogaard 21-15, 21-5 dalam masa 33 minit.
Sementara itu, untuk aksi perseorangan lelaki, wakil tunggal Malaysia, Lee Zii Jia turut mengesahkan kemaraannya ke suku akhir selepas jaguh No. 1 dunia, Viktor
Axelsen menarik diri akibat kecederaan kaki kirinya.
Ketiadaan Axelsen, membuka peluang terbaik buat pemain berusia 25 tahun itu untuk memburu gelaran keduanya selepas menjuarai Terbuka Arctic di Finland, minggu lalu.
Bagaimanapun, sebelum mengimpikan gelaran Terbuka Denmark, Zii Jia yang kini menghuni ranking No. 11 dunia itu terlebih dahulu perlu berdepan Kenta Nishimoto dari Jepun yang menumpaskan wakil Taiwan, Chou Tien Chen 10-21, 21-19, 21-14 di suku akhir.
Dalam aksi beregu campuran pula, nasib berbeza menimpa Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang gagal mengikut jejak langkah rakan senegara, Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia ke suku akhir.
Beregu muda yang kini menghuni ranking No. 9 dunia itu kecundang ditangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 15-21, 12-21 dalam masa 38 minit.
Nasib serupa turut menimpa beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang berusaha memberikan tentangan sengit, tetapi akhirnya akur kepada beregu Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 15-21, 21-17, 20-22 dalam permainan yang berlanjutan selama sejam 21 minit. – UTUSAN ONLINE