KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli berhajat mengulangi pencapaian pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke pentas akhir dalam acara riben biru, 100 meter (m) di Hangzhou, China.
Selain 100m, atlet berusia 30 tahun itu akan turut menyertai acara berpasukan 4x100m pada temasya yang akan membuka tirai pada 23 September ini.
“Sasaran memang hendak ke final, saya harap dapat berikan yang terbaik untuk acara individu tersebut, begitu juga dengan 4x100m.
“Apa yang penting layak dulu ke akhir, selepas itu, baharulah fikir tentang apa yang bakal terjadi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.
Mengulas tentang penyertaannya dalam acara 200m, Zaidatul atau lebih mesra dengan panggilan adik, memberitahu, buat masa ini, dia hanya dimaklumkan jurulatih akan beraksi dalam dua acara 100m dan 4x100m, manakala, Shereen Vallabouy menyertai 200m.
“Kalau ikutkan 200m memang acara yang biasa saya sertai, tetapi, keputusan akhir terletak di tangan jurulatih,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada Sukan Asia boleh dijadikan sebagai platfrom untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, atlet berusia 30 tahun itu menjelaskan, tiada perkara yang sukar dilaksanakan jika dia berlatih dengan bersungguh-sungguh.
Zaidatul yang berdepan persaingan di Hangzhou daripada ratu pecut Singapura, Shanti Pereira yang telahpun layak ke Sukan Olimpik secara merit memberitahu, pencabar dari negara tetangga itu seorang yang komited dalam latihannya tidak kira berlatih di negara kelahirannya atau di luar negara.
“Dia (Shanti) memang banyak perbaiki persembahannya ketika dalam latihan, saya akui peningkatan yang dipamerkan cukup ketara.
“Latihan ikut atas jurulatih, bagaimana dia sampaikan kepada atlet, saya akui pendedahan di luar negara juga penting, tetapi, kalau kita bekerja keras tidak kira di mana kita berlatih, keputusan yang baik mampu dicatat jika buat bersungguh-sungguh,” jelasnya.