NICE: Aksi pembukaan Portugal dalam Ragbi Piala Dunia hari ini amat mendebarkan kerana bakal berdepan lawan yang pernah membuat ‘onar’ kepada mereka, Wales.
Biarpun sudah 29 tahun berlalu, namun kekalahan 11-102 kepada Wales dalam perlawanan Ujian di Lisbon pada 1994 masih membayangi Portugal.
Itu satu-satunya pertemuan kedua-dua pasukan, dan kali pertama Wales meraih lebih daripada 100 mata.
Lebih mengerikan buat Portugal, ketika mereka baru cuba mendapatkan rentak beraksi dalam perlawanan pembukaan, Wales sudah terlebih dulu memanaskan ‘enjin’ dengan menumpaskan Fiji 32-26 dalam aksi pertama Kumpulan C, Isnin lalu.
Begitupun pengendali Wales, Warren Gatland bakal membuat 13 pertukaran daripada skuad yang menumpaskan Fiji, sekali gus menyukarkan Portugal untuk membaca permainan lawan mereka.
Kemenangan tipis ke atas Fiji di Bordeaux memberi gambaran sebenar kepada Wales kekuatan yang boleh digunakan untuk menentang Portugal di Nice.
Gareth Anscombe akan bermula di posisi fly-half, manakala Tomos Williams diberi cap ke-50 untuk mengetuai scrum-half.
Johnny Williams dan Mason Grady akan bergabung di tengah bagi membuat penampilan sulung Piala Dunia.
Gatland juga akan memberi penampilan ke-101 buat Leigh Halfpenny sebagai di bahagian pertahanan, manakala Rio Dyer dan Louis Rees-Zammit mengisi posisi tengah.
Tugas ketua pasukan Wales akan digalas Dewi Lake, yang bertindak sebagai hooker disertai oleh Nicky Smith dan Dillon Lewis.
“Kami akan membuat perubahan memandangkan pemain hanya ada enam hari untuk proses pemulihan (daripada perlawanan pertama).
“Saya telah berkata sebelum ini, pemain akan berdepan persaingan hebat untuk mendapatkan posisi mereka, dan itulah yang berlaku sekarang.
“Ini adalah peluang terbaik buat kelompok pemain yang baru dimasukkan untuk keluar membuktikan mereka juga mampu mencipta kemenangan,” kata Gatland. – AGENSI