PETALING JAYA: Permainan tidak konsisten terus menjadi musuh terbesar Ng Tze Yong apabila ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua perseorangan lelaki badminton Terbuka China di Changzhou, hari ini.
Turun dengan ranking lebih baik, malah memenangi set pembukaan, pemain No. 22 dunia itu bagaimanapun tumpas 21-18, 11-21, 20-22 kepada Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia, yang berada pada kedudukan ke-45 dunia.
Tze Yong memasuki perlawanan sebagai pilihan kerana pernah mengalahkan Shesar pada All England, Mac lalu seketika mendahului 15-8 di set penentuan.
Begitupun dia bergelut untuk mengekalkan rentak permainan sebelum akur dalam pertarungan yang berlarutan sehingga satu jam, 14 minit.
Kekecewaan pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun ditebus dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang meneruskan kemaraan ke suku akhir.
Tang Jie-Ee Wei mengejutkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-15, 15-21, 21-18, sekali gus bakal berdepan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin esok.
Kian Meng-Pei Jing meraih tiket suku akhir pertama dalam Jelajah Dunia tahun ini selepas menumpaskan bekas juara All England, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia 18-21, 21- 19, 21-12.
Cabaran getir bakal menanti pasangan profesional negara itu pada suku akhir apabila menentang pilihan keempat dan juara dunia 2021, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand. – UTUSAN ONLINE