PETALING JAYA: Ng Tze Yong meneruskan siri kejutan tahun ini apabila menumbangkan pilihan kelima dan bekas pemain No. 2 dunia, Chou Tien Chen pada pusingan pembukaan badminton Terbuka Hong Kong hari ini.
Pemain No. 20 dunia itu menang 21-15, 21-18 untuk melakar kemenangan kedua ke atas jaguh Taiwan tersebut selepas mengalahkannya pada Terbuka Thailand awal tahun ini.
Tze Yong, 23, yang mengejutkan pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dan H.S. Prannoy (India) tahun ini akan menentang Kanta Tsuneyama dari Jepun pada pusingan kedua esok.
Turut meneruskan cabaran perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang menumpaskan pemain Taiwan, Lin Chun-Yi 22-20, 21-15 untuk menempah pertemuan dengan pilihan kedua dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.
Sementara itu, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan rentak cemerlang dengan menumpaskan pilihan ketujuh, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya dari Jepun 21-15, 21-17.
Beregu profesional negara itu kini akan berdepan satu lagi pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.
Meneruskan cabaran beregu campuran gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Soon Huat-Shevon mengalahkan Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun 21-14, 2-9, manakala Tang Jie-Ee Wei menang 21-16, 16-21, 21-18 ke atas B. Sumeeth Reddy-Ashwini Ponnappa dari India.
Perseorangan wantia negara, Goh Jin Wei juga melepasi halangan awal dengan bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Line Hojmark Kjaersfeldt dari Denmark 23-25, 21-13, 21-14.